Selasa, 18 Januari 2011

AYAM

Oleh
Siti Mariani Binti Rothi

Menyesal! Itulah ungkapan yang berlegar di kepala Pak Masri apabila memikirkan tentang perihal anak tunggalnya, Jani. Sambil menggenggam erat-erat sabit yang dipegangnya, Pak Masri mengerah kudrat tuanya menebas pohon-pohon renek yang tumbuh melata di tepi rumahnya sambil mulutnya mengomel tentang Jani.

“Dasar anak tak tahu diuntung. Anak tak mengenang jasa. Diberi madu, tuba dibalasnya. Huh! Menyesal aku.”

Tangan kasar Pak Masri terus menebas-nebas tanpa belas kasihan. Dia seakan-akan melepaskan amarah dan geramnya kepada pohon-pohon tersebut. Tanpa disedari, tingkah lakunya diperhati oleh isterinya yang duduk di tangga rumah. Sambil tersenyum, Mak Sipah menegur suaminya.

“Hai, kenapa bang? Cakap sendiri aje. Marah sangat ke dengan pokok-pokok tu?”

Mak Sipah ketawa kecil. Pak Masri terkejut lalu berhenti menyabit. Dia berdiri tegak dan menggeliatkan badan untuk membetulkan urat-uratnya. Sambil mengesat peluh di dahinya, Pak Masri memandang isterinya.

“Ah, awak apa tau. Sakit hati saya dengan perangai anak kesayangan awak tu. Tulah, awak manjakan dia sangat. Tengok, apa yang dia dah buat kepada saya. Sanggup dia lukakan hati saya. Mentang-mentanglah dia dah jadi orang besar di bandar sana, dia dah lupa semuanya.”

Pak Masri mencampakkan sabitnya ke tanah dengan penuh geram. Dia berjalan terdengkot-dengkot ke arah pangkin kayu di bawah pokok rambutan di hadapan rumahnya. Dia duduk perlahan-lahan sambil tangannya mengurut-urut betisnya yang lenguh. Mak Sipah kehairanan melihat gelagat suaminya.

“Apa yang dah si Jani tu buat? Dia baru balik ke sini dua hari lepas. Awak tak suka ke?” tanya Mak Sipah.

“Eh awak tak tahu? Tak dengar? Dia hina saya tau. Dia kata saya yang bukan-bukan.” Pak Masri menjawab pertanyaan isterinya. Tangannya memicit-micit pehanya pula.

“Awak ni cakap apa ni? Tak ada pun saya dengar dia cakap yang tak elok pasal awak. Awak salah faham aje kot.” Mak Sipah bertambah hairan. “Mana ada Jani tu hina awak. Tak ada pun saya dengar apa-apa yang pelik.”

“Huh awak tu. Selalu saja menangkan Jani tu,” kata Pak Masri, geram.

“Cuba awak beritahu saya apa yang Jani tu cakap”, ujar Mak Sipah

Pak Masri merenung isterinya. Dia nampak wajah isterinya yang benar-benar inginkan penjelasan daripadanya. Dia menghela nafas yang panjang sebelum berkata, “Dia hina ayam-ayam saya. Dia kata ayam-ayam saya kotor. Busuk. Berkuman. Bawak penyakit. Reban ayam-ayam saya macam sampah. Macam tangki najis. Awak tak dengar?”

Mak Sipah memandang suaminya seketika. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Pak Masri hanya memandang kosong kepada isterinya. Beberapa lama kemudian, ketawa Mak Sipah beransur reda.

“Astaghfirullahal’azim. Itu dia kata pada ayam-ayam awak. Bukannya kepada awak”, kata Mak Sipah yang masih tersenyum-senyum sambil mengesat air matanya pada lengan baju kurungnya.

Pak Masri merenung isterinya, tajam. “Apa yang dia kata pada ayam-ayam saya tu sama macam dia kata pada saya tau”, balas Pak Masri.

“Yalah bang. Abang kan sayang sangat ayam-ayam tu. Ayam-ayam tu kan anak-anak abang. Sudahlah bang. Saya nak ke pasar. Nak beli beras. Nak masak nasi ayam. Abang kan suka”, ujar Mak Sipah sambil tersenyum simpul. Dia melilitkan selendang menutupi kepalanya dan menjinjing sebuah bakul rotan. Sambil menuruni tangga rumah, Mak Sipah bertanya kepada suaminya, “Abang nak saya belikan apa untuk ayam-ayam abang?”

Pak Masri hanya mendengus lalu berkata, “Awak tak faham. Nak usik saya pulak.” Mak Sipah ketawa kecil lalu berlalu pergi meninggalkan suaminya.

Pak Masri hanya mampu merenung isterinya yang semakin hilang dari pandangannya. Dia bangun dari pangkin dan berjalan ke arah reban ayam-ayamnya di belakang rumahnya. Dia duduk di sebuah bangku

kayu yang dibinanya sendiri berdekatan dengan reban ayam-ayamnya. Kemudian dia mengeluarkan sebuah beg kecil. Beg kecil tersebut mengandungi tembakau, kertas rokok dan cengkih. Sepasang gunting kecil turut berada di dalam beg tersebut. Dia mengeluarkan sedikit tembakau yang berperisa strawberi itu dari kantungnya dan mengambil sekeping kertas rokok yang nipis. Dia kemudian meletakkan tembakau tersebut di atas kertas itu. Kemudian, dia mengambil dua biji cengkih lalu diguntingnya sehingga hancur dan ditaburkan ke atas tembakau itu. Dia menggulung rokok yang sudah hampir siap itu dengan teliti sekali. Dia menyalakan rokoknya. Dia menyedut rokoknya dalam-dalam sambil ingatannya menerawang ke zaman mudanya.

Dia seorang yang sangat miskin. Bapanya hanyalah seorang pengait kelapa yang tidak punyai pendapatan yang tetap. Ibunya telah meninggal dunia ketika melahirkan adiknya yang ketujuh. Pak Masri merupakan anak yang sulung. Dia selalu mengikuti bapanya apabila ada orang kampung yang ingin mengupah bapanya mengait kelapa. Walaupun usia bapanya ketika itu telah menjangkau angka 60 tahun, dia masih lagi gagah bekerja. Pada suatu hari, ketika umurnya 16 tahun, bapanya telah berkata sesuatu yang tidak dapat dia lupakan.

“Masri, kau rasa malu tak dengan bapak? Bapak ni bodoh. Bapak ni tak pandai. Bapak hanya pandai kait kelapa aje. Kerja lain bapak tak tahu. Rumah kita pun orang kampung kata macam kandang lembu. Bapak tak ada harta. Bapak tak ada kawan. Hanya kau dengan adik-adik kau saja yang bapak ada. Mak kau pun dah tak ada. Kau malu tak dengan bapak?”

Ketika itu, Pak Masri hanya terdiam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan bapanya.

“Bapak rasa bersalah dengan arwah mak kau. Bapak tak mampu nak belikan dia apa-apa pun. Bapak tahu dia tak harapkan apa-apa pun daripada bapak. Dia pun susah. Anak yatim-piatu. Arwah mak kau baik sangat. Bapak sayang dia. Tapi, Allah lebih sayangkan dia. Bapak pun rasa bersalah dengan kau. Bapak tak mampu nak sekolahkan kau. Nak sekolahkan adik-adik kau pun bapak tak mampu. Bapak tak ada duit. Nak makan pun selalu tak cukup.”

Masih terbayang di ingatan Pak Masri air mata yang bergenang di kelopak mata bapanya ketika menuturkan kata-kata tersebut. Wajah bapanya yang penuh kedut-kedut usia dan penderitaan masih terpahat di ingatannya.

“Bapak tak tahu macamana nak ubah hidup kita. Bapak risau. Bapak paling takut bila memikirkan tentang kau dan adik-adik kau. Bapak takut bila kau dan adik-adik kau dewasa nanti, masih hidup miskin macam bapak. Hidup melarat. Bapak takut anak-anak bapak jadi bahan hinaan orang kampung. Jadi bahan senda-gurau orang kampung. Bapak takut itu semua. Bapak takut.”

Ketika itu air mata bapanya tidak dapat ditahan lagi. Ia mengalir deras membasahi pipinya. Pak Masri hanya mampu memandang bapanya dengan perasaan sebak. Terbayang bapanya mengesat air matanya dengan kain batik peninggalan arwah ibunya.

“Tapi Masri, bapak cuma nak berpesan. Kalau kau hidup susah, jangan sesekali lupakan tuhan. Kau berilah peluang kepada anak-anak kau kelak. Kau hantarlah mereka ke sekolah. Janganlah sampai semua keturunan kita hidup susah. Cubalah. Insya Allah, tuhan akan tolong kau. Kau masih punya banyak masa lagi. Bapak sudah tua. Sudah terlambat untuk bapak. Satu perkara lagi, kau maafkanlah bapak.”

Tatkala mendengar kata maaf daripada bapanya, Pak Masri terus menangis dan memeluk bapanya. Dia masih dapat merasakan tubuh kurus bapanya yang mendakapnya dan mereka sama-sama menumpahkan air mata. Wajah cengkung bapanya masih wujud dalam fikirannya. Dia masih ingat ketika kematian bapanya, dia sempat menatap wajah bapanya buat kali yang terakhir sebelum dikafankan. Wajahnya tetap cengkung tetapi terdapat suatu ketenangan pada wajahnya. Bibirnya seperti menguntum satu senyuman. Barangkali bapanya tahu bahawa anak-anaknya akan ingat segala kata-katanya. Mungkin bapanya tahu bahawa anak-anaknya tidak akan hidup susah sepertinya. Sempat juga Pak Masri mengucup dahi ayahnya sebelum jasadnya dikafan dan disemadikan.

Berbekalkan kata-kata bapanyalah, Pak Masri bekerja dengan lebih kuat lagi. Dia tidak menjadi pengait kelapa seperti bapanya. Malah, adik-adiknya yang lain telah pun berhijrah ke kota untuk mencari rezeki dan sekarang telah mampu untuk hidup secara sederhana. Pak Masri menjadi penjual telur ayam kampung. Di samping itu, dia turut bekerja sebagai buruh di kampungnya. Dia bermula dengan sepasang ayam kampung. Telur-telurnya dijual dan hasilnya dibuat modal untuk membeli beberapa ekor lagi ayam kampung. Begitulah seterusnya sehinggalah dia mampu untuk menjadi pembekal telur ayam kampung bukan sahaja di kampungnya, tetapi telur-telur ayamnya turut dijual di ibu kota. Wang hasil jualan telur-telur tersebut digunakan dengan cara yang terbaik seperti pesan bapanya, iaitu memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak tunggalnya, Jani.

Deruman kereta Mercedes S-Class Jani dan bunyi hiruk-pikuk ayam-ayamnya mengejutkan Pak Masri dari lamunannya. Dia mencampakkan puntung rokoknya ke tanah. Dia bangun dan melangkah ke arah rumahnya.

“Eh bapak. Hmm mak mana pak? Sunyi je”, Jani menegurnya.

“Mak kau ke pasar. Kejap lagi baliklah tu”, jawab Pak Masri.

Pak Masri merenung anaknya, Jani, yang telah menjadi salah seorang pakar bedah terkemuka di ibu kota. Dia berasa puas. Dia berasa bangga atas pencapaian anaknya itu. Namun, jauh di sudut hatinya, dia berasa terguris dengan kata-kata yang dilafazkan oleh anaknya.

“Kau dari mana ni?” tanya Pak Masri kepada anaknya.

“Saya dari rumah Balqis tadi. Berbincang tentang majlis kahwin nanti”, jawab Jani.

Pak Masri baru teringatkan Balqis. Seorang gadis manis di kampung itu yang juga bergelar doktor yang telah menjadi tunangan anaknya.

“Oh ya. Balqis sihat ke? Orang tuanya sihat?”

“Alhamdulillah. Semua sihat. Mereka kirim salam dengan bapak.”

“Wa’alaikumsalam. Baguslah kalau macam tu”, ujar Pak Masri perlahan.

Pak Masri duduk di tangga rumahnya sambil memandang ke arah Jani yang bersandar pada kereta kesayangannya.

“Jani”, kata Pak Masri. “Kau malu tak dengan bapak?”

Jani kelihatan terkejut mendengar pertanyaan Pak Masri.

“Kau malu tak dengan bapak?” ulang Pak Masri.

“Err...Err...Kenapa bapak tanya macam tu?” tanya Jani yang masih kelihatan terkejut.

“Yalah. Bapak ni kan kerjanya kotor. Bergelumang dengan najis ayam. Bau badan pun macam bau ayam. Bau makanan ayam. Busuk.”

“Tak baik bapak cakap macam tu”, ujar Jani dengan nada yang kesal.

“Bapak tak mahu kau malu dengan bapak. Bapak tahu kedudukan kau sekarang ni. Bapak boleh ubah. Bapak tak akan kerja macam tu lagi. Bapak boleh jual ayam-ayam tu semua.”
“Kenapa ni bapak? Bapak rasa kecil hati ke tentang apa yang saya cakap semalam?” tanya Jani.

“Tak adalah”, jawab Pak Masri. “Tapi Jani, dengan kerja yang kotor tulah bapak hantar kau sekolah. Belajar tinggi-tinggi. Bapak cuma nak kau ingat tu je, Jani. Bapak tahu kau dah hidup senang sekarang. Tapi, bapak harap kau tak lupa diri. Walau setinggi langit pun kita berada, ke bawah bumi juga kita berakhir,” ujar Pak Masri. Suaranya tersekat-sekat menahan sebak.

Jani terkedu seketika. Dia mendekati dan memegang tangan bapanya.

“Maafkan Jani pak. Bukan niat Jani nak lukakan hati bapak. Jani cuma tak mahu lagi bapak bekerja kuat-kuat. Jani nak jaga bapak dengan mak. Bapak tak payahlah jual ayam-ayam tu. Jani tau ayam-ayam tu pun berjasa kepada Jani. Jani tak pernah lupa pak”, ujar Jani. Nadanya perlahan.

Jani mengangkat dan mencium tangan Pak Masri.

“Masa Jani cuti ni, Jani tolong bapak. Sebelum Jani sambung kerja nanti, Jani carikan orang untuk jagakan ayam-ayam tu. Bapak rehat aje ya. Jani minta ampun dan maaf kalau Jani sakitkan hati bapak. Jani minta maaf pak”, sambung Jani.

“Syukur, Alhamdulillah”, kata Pak Masri lalu bangun dan memeluk anaknya erat-erat.

“Hai, dah berbaik nampak.” Terdengar suara Mak Sipah yang baru pulang dari pasar. Pak Masri dan Jani hanya tersenyum-senyum malu.

Bunyi ayam-ayam Pak Masri terus kedengaran hiruk-pikuk.


kembali ke atas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan