Sabtu, 15 Januari 2011

Sekalung Bicara KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullhi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak sekolah atas kejayaan menerbitkan majalah sekolah pada tahun ini. Saya turut mengucapkan terima kasih atas kesempatan untuk berbicara sepatah dua kata dalam majalah ini.

Pendidikan merupakan agenda utama pembangunan negara. Melalui pendidikan yang berkualiti modal insan yang berkualiti juga dapat dibangunkan . Antara ciri-ciri modal insan yang berkualiti ialah individu yang menguasai ilmu, berkemahiran tinggi, berketerampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Pada individu inilah terletaknya harapan untuk meneruskan agenda pembangunan negara sekaligus menjamin kelangsungan kedaulatan,keselamatan dan kemerdekaan negara.

Sejajar dengan hasrat itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha memperkasakan bidang pendidikan demi kepentingan semua pihak. Kementerian turut melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang merupakan satu perancangan yang menyeluruh sebagai pelengkap kepada Rancangan Pelajaran yang telah sedia ada. Sebagai penanda aras pencapaian PIPP, NKRA distrukturkan untuk mengetahui tahap pencapaian sesuatu bidang yang disasarkan.

Matlamat PIPP adalah menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Pelan ini didokong oleh enam teras strategik iaitu Membina Negara Bangsa, Membangunkan Modal Insan, Memperkasa Sekolah Kebangsaan, Merapatkan Jurang Pendidikan, Memertabatkan profesion Keguruan dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. PIPP tidak akan dapat dijayakan tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak terutamanya warga guru, ibu bapa dan murid. Guru berkualiti akan menjadi warganegara yang bertangungjawab dan berguna kepada negara.

Akhirul kalam,saya menyeru semua warga pendidik agar meningkatkan usaha menyediakan peluang pembelajaran yang terbaik untuk semua murid bukan sekadar memenuhi tuntutan PIPP tetapi untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

“SELAMAT MAJU JAYA”

DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD DOM

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan