Assalamualaikum warahmatullah Wabarakatuh dan salam 1Malaysia
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberi peluang untuk saya menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Tahniah dan syabas kepada sidang redaksi majalah TINTA 2010 kerana dapat menerbitkan majalah ini dengan jayanya.
Kemajuan dalam bidang pendidikan masa kini diwarnai dengan pelbagai cabaran baru. Antara cabaran yang paling ketara perkembangan pesat dalam dalam bidang ilmu sains dan teknologi .Bidang ini telah mendasari fenomena globalisasi dan liberalisasi serta menjadikan dunia umpama sebuah perkampungan global.
Kepantasan dalam pertukaran, perkongsian dan perubahan maklumat dan ilmu telah menjadi pemangkin dan penjana kepada kepantasan kadar pembangunan yang dialami oleh negara-negara maju di dunia. Perubahan yang berlaku merangkumi pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan. Gabungan mantap bidang akademik dan kokurikulum merupakan gandingan yang ideal boleh melahirkan pelajar yang mampu memberikan pulangan yang diharapkan kepada masyarakat dan negara.
Seiring dengan pendidikan bertaraf dunia, penguasaan ilmu haruslah dimanfaatkan untuk kebajikan diri,keluarga dan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara. Kesedaran untuk menyumbangkan ilmu dalam bidang yang berkepentingan sangat bererti kerana ilmu pengetahuan sendiri sentiasa mengalami perubahan. Hal ini bererti semakin ramai orang menguasai ilmu semakin banyak penerokaan dan penemuan baru ditemukan.
Sesuatu yang diharapkan oleh negara melalui pendidikan akan terhasil apabila semua pihak terlibat memainkan peranan masing-masing. Saya menyeru seluruh warga sekolah melakukan anjakan paradigma dalam pemikiran dengan berfikir secara global tetapi bertindak secara lokal sebagaimana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu, “warga yang berakar nasional dan berakal internasional”.
Sekian, terima kasih.
“SELAMAT MAJU JAYA”
Tuan Sulaiman bin Wak
Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan